Sunday, April 12, 2009

Amerika Syarikat dan Dunia Islam: Ikrar Obama

SEDUTAN UCAPAN PRESIDEN BARACK HUSSEIN OBAMA DI PARLIMEN TURKEY, ISNIN LALU

IKRAR AMERIKA MENDAMPINGI DUNIA MUSLIM

INI kunjungan saya yang pertama ke luar negara selaku presiden Amerika Syarikat.

Saya telah ke sidang puncak G-20 di London, puncak Nato di Strasbourg dan puncak Kesatuan Eropah (EU) di Prague.

Ada orang bertanya jika saya berhasrat meneruskan perjalanan saya ke Ankara dan Istanbul untuk menyampaikan perutusan kepada dunia. Dan jawapan saya mudah: Evet - ya.

Turkey merupakan sekutu runcing. Turkey satu bahagian penting Eropah. Turkey dan Amerika mesti sepadu - bekerjasama - mengatasi cabaran dalam zaman ini.

Pagi ini saya amat bertuah kerana menziarahi makam pengasas luar biasa republik anda. Dan saya amat kagum akan tugu indah bagi seorang tokoh yang merubah sejarah. Namun, jelas bahawa tugu agung dalam hayat Ataturk bukanlah sesuatu yang terpahat pada batu dan marmar. Warisan terhebatnya ialah sebuah Turkey yang kuat, pesat, demokrasi sekular, dan inilah usaha dewan parlimen ini hari ini.

Masa depan bukan mudah dipastikan, apatah lagi dijamin. Pada akhir Perang Dunia Pertama, Turkey boleh jatuh ke tangan kuasa asing yang cuba menuntut wilayahnya atau cuba memulihkan sebuah empayar silam. Namun, Turkey memilih masa depan berbeza. Anda bebaskan diri daripada cengkaman asing dan mengasaskan republik yang dihormati Amerika dan dunia luas.

Ada kebenaran polos dalam kisah ini iaitu demokrasi Turkey merupakan pencapaian anda. Ia tidak dipaksakan oleh kuasa luar atau tercapai tanpa perjuangan dan pengorbanan. Turkey meraih kekuatannya daripada kejayaan silam dan usaha setiap generasi rakyat untuk menghasilkan kemajuan baru bagi Turkey.

Demokrasi watan saya juga punya kisah tersendiri. Jeneral yang memimpin Amerika dalam revolusi dan mentadbirnya sebagai presiden pertama dan diketahui ramai ialah George Washington. Dan seperti anda, kami bina sebuah tugu besar untuk menghormati bapa pengasas kami - sebuah menara (obelisk) yang berdiri di jantung ibu kota yang bersempena namanya. Saya dapat melihat Tugu Washington dari jendela Rumah Putih setiap hari.

Ia dibina dalam masa puluhan tahun. Sering berlaku kelewatan. Lama-kelamaan, kian ramai orang menderma untuk menjadikan tugu ini sebuah binaan inspirasi yang masih berdiri sehingga kini. Antara penyumbang itu ialah kawan-kawan kami dari luar negara.

Antara sumbangsih itu datang dari Istanbul. Sultan Uthmaniyah, Abdulmecid, menghadiahkan plak marmar yang turut diterap dalam pembinaan Tugu Washington. Terpahat pada plak itu sekuntum sajak dengan kata-kata mudah: 'Untuk memperkuat persahabatan antara dua negara'.

Selang 150 tahun selepas kata-kata itu, negara-negara kita sudah banyak berubah. Namun, persahabatan kita teguh dan perikatan kita berterusan...

Kini demokrasi kita dicabar oleh pelbagai cabaran yang belum pernah terjadi. Suatu krisis ekonomi yang tidak mengenal sempadan; pengganas yang meragut jiwa insan dan kekanak tidak berdosa; kekurangan bekalan tenaga dan perubahan iklim; penularan senjata berbahaya dan sengketa berdarah yang berlarutan.

Semua ini ujian besar bagi kurun yang baru ini. Dan pilihan yang kita buat dalam tahun-tahun menjelang akan menentukan apakah masa depan akan dibentuk oleh ketakutan atau kebebasan; oleh kemiskinan atau kemakmuran; oleh kegelisahan atau keamanan dan keadilan.

Yang dapat dipastikan: Tiada watan dapat menghadapi cabaran tadi sendirian, dan semua negara punya taruhan untuk mengatasinya. Itulah sebabnya kita mesti saling menasihati dan menemukan haluan bersama. Itulah sebabnya kita mesti bina kepentingan bersama dan bangkit mengetepikan perbezaan. Kita lebih kuat jika bertindak sepadu. Itulah perutusan yang saya bawa sepanjang perjalanan ke Eropah. Itulah perutusan yang saya sampaikan jika saya berpeluang menemui presiden dan perdana menteri anda. Itulah pendekatan yang akan dimajukan Amerika Syarikat...

Amerika amat menyokong usaha Turkey untuk menjadi anggota EU. Turkey merupakan sekutu waja dan rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam institusi rentas Atlantik dan Eropah. Turkey terikat dengan Eropah lebih daripada jambatan yang melangkaui Selat Bosporus. Keanggotaan Turkey akan meluas dan memperteguh asas Eropah.

Turkey juga mempunyai tanggungjawabnya sendiri. Dan anda telah mencapai kemajuan ke arah menjadi anggota EU. Saya juga tahu Turkey telah melalui reformasi politik yang sukar bukan sekadar demi menjadi anggota EU, malah untuk kebaikannya sendiri.

Anda telah memansuhkan mahkamah keselamatan negara, meluaskan hak menggunakan peguam, melaksanakan reformasi kod keseksaan dan meneguhkan undang-undang bagi kebebasan akhbar dan perhimpunan. Anda telah meniadakan pengharaman ke atas pengajaran dan penyiaran dalam bahasa Kurdi, dan dunia menghormati tindakan anda mengadakan stesen televisyen Kurdi yang baru.

Satu lagi isu yang mencabar semua demokrasi untuk menuju ke hari muka ialah menangani peninggalan lalu. Amerika masih lagi menangani detik hitam dalam sejarahnya. Menghadapi Tugu Washington, saya juga melihat Tugu Peringatan Abraham Lincoln, tokoh yang membebaskan perhambaan selepas Washington memimpin revolusi. Negara kami masih berhempas-pulas dengan warisan perhambaan dan penyisihan, layanan silam ke atas peribumi Amerika.

Begitu pula dengan cara orang Turkey dan Armenia dalam menghadapi masa silam mereka. Dan cara terbaik untuk mereka maju ialah proses mengharungi masa silam dengan jujur, terbuka dan membina.

Dan apabila kita mengamati cabaran di depan kita, isu demi isu, kita berkongsi matlamat yang sama.

Di Timur Tengah, kita berkongsi matlamat bagi perdamaian kekal antara Israel dengan jiran-jirannya. Biarlah saya tegaskan: Amerika amat menyokong matlamat dua negara iaitu Israel dan Palestin, yang hidup berjiran dengan aman dan selamat. Inilah matlamat yang disepakati semua pihak dalam peta damai di Annapolis. Inilah matlamat yang akan saya usahakan dengan gigih sebagai presiden Amerika.

Saya telah menjelaskan kepada rakyat dan pemimpin Republik Islam Iran bahawa Amerika berusaha menjalin hubungan berdasar kepentingan dan rasa hormat bersama. Kami mahu Iran memainkan peranan yang sebenar dalam masyarakat antarabangsa. Iran sebuah peradaban besar. Kami mahu menjalin ikatan ekonomi dan politik yang membawa kemakmuran dan keselamatan. Tetapi para pemimpin Iran mesti memilih sama ada membina senjata atau masa depan lebih baik bagi rakyat mereka.

Oleh itu, Turkey dan Amerika menyokong Iraq yang selamat dan sepadu dan bukan menjadi lahan bagi pengganas. Saya tahu perbezaan mengenai memasuki perang. Ada beza pendapat di negara saya juga. Tetapi kini kita mesti bersama menamatkan perang ini dengan bertanggungjawab kerana masa depan Iraq tidak dapat dipisahkan daripada masa depan rantau ini.

Usah silap. Iraq, Turkey dan Amerika menghadapi ancaman bersama daripada pengganasan, termasuk Al-Qaeda yang cuba memecahbelahkan rakyat Iraq dan menghancurkan negara mereka. Ini juga termasuk Parti Pekerja Kurdi (PKK).

Akhirnya, kita berkongsi matlamat untuk menafikan Al-Qaeda daripada menjadikan Pakistan atau Afghanistan sebagai kubunya.

Saya juga mahu menegaskan bahawa hubungan Amerika dengan umat Islam, Dunia Muslim, tidak boleh dan tidak akan berdasarkan pada penentangan terhadap pengganasan. Kami juga mendapatkan jalinan lebih luas berdasarkan kepentingan dan rasa hormat bersama. Kami akan mendengar dengan teliti, kami akan rentangi salah faham dan kami akan cari dasar bersama. Kami akan dengan secara hormat melakukannya, walaupun ketika tidak bersetuju. Kami akan sampaikan penghargaan mendalam kepada agama Islam, yang telah memberi sumbangan besar selama berkurun-kurun untuk membentuk dunia, termasuk negara saya. Amerika diperkaya warga Muslimnya. Ramai warga Amerika mempunyai anggota keluarga Muslim atau pernah diam di negara majoriti Muslim. Saya arif hal ini kerana saya merupakan antara mereka.

Lebih daripada itu, kami akan paparkan menerusi tindakan kami untuk membina hari muka yang lebih baik, membantu kanak-kanak menikmati pendidikan dan menyokong jagaan kesihatan di tempat yang daif. Kami mahu meluaskan perdagangan dan pelaburan yang membawa kemakmuran untuk semua. Dalam bulan-bulan menjelang, saya akan membentangkan rancangan khusus untuk mencapai matlamat ini. Tumpuan kami pada apa yang kami sanggup lakukan dengan perkongsian warga di Dunia Muslim untuk meraih harapan dan impian bersama.

No comments: